Menu wajib pada pagi Hari Raya seperti ketupat dan rendang disediakan secara bergotong-royong sesama ahli keluarga. Kebiasaannya ahli keluarga akan pulang ke kampung antara dua atau tiga hari sebelumnya untuk membantu mempersiapkan segala kelengkapan hari raya.
Malah amalan ini sudah menjadi kebiasaan disetiap keluarga semasa menjelangnya bulan Syawal atapun semasa Hari Raya Korban.
Antara Menu Wajib Ketika Sambutan Hari Raya
1- Rendang Daging /Ayam
Rendang daging Minang |
Menggunakan bahan utama seperti santan, cili yang sudah dikisar, bawang putih dan merah, daun kunyit, daun limau purut dan juga kerisik untuk memasak rendang.
Biasanya resipi rendang berbeza-beza antara negeri di Malaysia dan mempunyai keunikannya sendiri.
Manakala bahagian daging batang pinang atau daging ayam selalu digunakan sebagai bahan utama masakan rendang selain dimakan bersama lemang, nasi, ketupat dan juga pulut kuning.
2- Lemang
Lemang dimasak dengan menggunakan beras pulut dan santan yang dimasukkan ke dalam ruas-ruas buluh dan dilapik dengan daun pisang.
Lemang perlu dimasak dengan cara dibakar dan perlu dijaga apinya supaya tidak hangus dan terlampau kering.
Teringat zaman kanak-kanak dulu tiap kali raya mesti nenek bakar lemang di tepi rumah. Kami cucu-cucu pula bertugas menjaga api supaya lemang tidak hangus terbakar.
Seronok sangat kalau dikenang kembali zaman kita semua dapat berkumpul bersama-sama kan?
3- Ketupat Ataupun Nasi Himpit
Kalau dikampung biasanya ketupat yang akan dimasak dengan cara memasukkan beras ke dalam ketupat yang dianyam daripada daun kelapa.
Tetapi ada juga yang hanya membuat nasi himpit sahaja dimana nasi panas dimasukkan ke dalam plastik tahan panas dah dihimpit dengan batu atau benda keras.
Manakala ketupat pula mempunyai pelbagai jenis dari ketupat pulut, ketupat nasi dan juga antara yang popular ialah ketupat palas. Ketupat palas ialah salah satu jenis ketupat yang dianyam dari daun palas dan mengunakan pulut sebagai isinya.
Seingat saya pengalaman buat ketupat palas ini ketika beraya di sebelah keluarga arwah bapa di Utara Malaysia. Seronoknya bergotong-royong berkumpul bersama ahli keluarga menyediakan makanan untuk Hari Raya.
4- Kuah Kacang
Antara kegemaran rakyat Malaysia yang tidak patut dilupakan ialah Kuah Kacang. Kuih kacang dimasak menggunakan bahan-bahan seperti kacang tanah, halia, bawang putih, cili kisar dan juga asam jawa.
Kuah kacang juga biasanya dimakan dengan sate ayam ataupun lontong.
5- Kuah Lodeh
Ada yang panggil kuah lodeh, ada juga yang gelarkan sebagai kuah lontong. Tapi apapun ianya tetap menjadi hidangan kemestian ketika hari raya.
Antara bahan yang digunakan ialah kubis, lobak merah, kacang panjang, udang kering dan juga santan serta suhun.
6- Pelbagai Jenis Biskut Raya
Biskut atau kuih raya juga antara menu wajib ada semasa sambutan hari raya. Kalau tak ada biskut raya macam tak rasa raya pula.
Antara pilihan semestinya dari jenis biskut raya klasik seperti biskut kacang mazola, biskut makmor dan juga pilihan moden seperti biskut Almond London yang sedap dan juga biskut cip coklat.
Biskut coklat chips |
Sekali sekala mengimbas cerita pasal raya ni memang boleh buat suasana jadi gembira sekejap. Seronok kan dapat beraya dengan ahli keluarga semuanya.
0 Comments