Bacaan Hasbunallah Wanikmal Wakil maksudnya ialah kita sebagai hamba-Nya sentiasa ingat dan bergantung harap hanya kepada Allah SWT. Kelebihan zikir ini boleh dijadikan amalan harian dan juga sebagai doa supaya sentiasa dipermudahkan segala urusan kita.
Pengertian Zikir Hasbunallah Wanikmal Wakil
Ia merupakan salah satu zikir dan kalimah yang suci dan boleh diamalkan setiap hari.
Bacaan lebih panjang iaitu Hasbunallah Wanikmal Wakil Nikmal Maula Wanikman Nasir
Ertinya yang diterjemahkan dari Bahasa Arab bermaksud;
"Cukuplah bagi kami Allah sebagai penolong dan Dia adalah sebaik-baik pelindung"
Dan barang siapa yang menjadikan hanya Allah SWT sebagai penolong maka ia akan beruntung, dan barang siapa yang ditolong oleh Allah nescaya ia akan menang- rujukan ayat
Kalimah ini diambil dari ayat Al-Quran dari Surah Ali-Imran ayat 173 dan juga Surah Al-Anfal ayat ke 40.
Surah Ali-Imran ayat 173
لَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Maksudnya : Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka:
"Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya".
Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)"
Surah Al-Anfal ayat 40.
Maksudnya: Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawasanya Allah Pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.
Kelebihan Bacaan Hasbunallah Wanikmal Wakil
Terdapat banyak kelebihannya apabila kita selalu amalkan zikir dan doa ini. Antaranya ialah;
1- Sebagai Bentuk Tawakal
Setelah kita sudah berusaha dengan sebaik mungkin, ia adalah salah satu cara untuk kita bertawakal dengan takdir Allah SWT.
Ia juga melatih sifat kebergantungan hanya kepada Allah Tuhan yang Maha Esa dan berkuasa atas segala-galanya.
2- Melatih Rasa Sabar dan Syukur
Kita tidak terlepas dari ujian dan juga dugaan dalam hidup. Namun, dengan pertolongan-Nya inshaAllah akan dipermudah jalan untuk kita keluar dari kemelut hidup.
Dengan zikir ini, ia juga melatih kita untuk selalu bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT turunkan. Selain itu juga melatih kita untuk sentiasa bersabar dengan segala bentuk ujian yang kita sedang alami.
3- Meningkatkan Keimanan
Sebagai seorang muslim, hanya Allah SWT tempat kita bergantung dan meminta pertolongan. Selain itu hanya kepada-Nya kita mohonkan perlindungan.
Tingkatkan keimanan dengan selalu berzikir dan berselawat kepada Rasulullah AS serta tidak meninggalkan semua kewajipan sebagai umat Islam.
Ujian Hidup di Dunia & Amalkan zikir Hasbunallah Wanikmal Wakil
Dalam hidup ini, kita tidak akan terlepas dari diuji dengan dugaan hidup. Dari rasa gembira, kecewa, bersemangat dan juga letih serta berada dalam kebuntuan.
Semuanya adalah ujian yang diturunkan-Nya untuk menguji tahap keimanan kita terhadap-Nya yang Maha Kuasa.
Baca lagi : Antara Ayat Motivasi dan Semangat Untuk Berjaya
Amalkan zikir Hasbunallah Wanikmal Wakil ini ketika sedang mengalami kegusaran dan juga perlukan ketenteraman hati yang sedang gundah gulana.
InshaAllah dengan berkatnya semoga segala kesulitan yang sedang kita alami akan diangkat dan diberikan kemudahan dalam setiap urusan, amin.
0 Comments