Pengalaman kami latih anak bebas pampers beberapa tahun lepas semasa anak kedua genap umur tiga tahun. Kami kalau boleh nak anak dapat bebas dari pampers seawal mungkin.
Bukan apa, senang nak hantar ke tadika tanpa perlu pampers. Kalau anak boleh bebas pampers dengan lebih awal, antara kebaikannya ialah boleh berjimat beli pampers tiap bulan.
Tapi ini usaha sahajalah, bukan sampai kena paksa anak jangan pakai pampers dalam keadaan dia tidak bersedia. Kita pula yang akan stress nanti.
Cara Melatih Anak Bebas Pampers Sebelum Umur 3 Tahun
Minggu Pertama Latih Anak Bebas Pampers:
- Mula-mula tu kami pastikan rumah telah dikemas dan paling penting simpan semua karpet. Minimakan perabot yang susah nak kering terutamanya yang jenis fabrik.
- Pagi lepas mandi pakai pakaian sahaja tanpa pampers. Masa ni kami beritahu dia yang hari ni tak pakai pampers nanti kita buang air ke tandas.
- Setiap 30 minit bawa anak ke tandas. Kalau dalam masa 30 minit ni anak terlepas di seluar, kurangkan masa ke 15 minit sekali ke tandas.
- Masa ni memang penat, tapi demi kebebasan dari pampers tetap teruskan.
Ada masa tu entah macam mana anak akan 'terlepas' juga diluar tandas. Jadi masa ni janganlah marah-marah walaupun penat. Lagi-lagi kalau anak masih dalam fasa belajar dan kemahiran berkomunikasi anak juga masih kurang.
Tunjukkan sahaja tempat yang patut dia buang air iaitu di tandas. Saya gunakan toilet seat untuk kanak-kanak. Selesa sikit untuk anak yang masih kecil ni buang air.
Latihan Anak Gunakan Tandas
Letih sangat-sangat untuk minggu pertama ni! Pelbagai cabaran dan dugaan, berat dan ringan. Untuk parents anda memang kena banyakkan bersabar dan bertenang.
Masa ni tengok akhir minggu pertama anak dah mula faham dan biasa dengan rutin. Kakak sulung yang paling banyak bantu dan tanya "adik nak pergi tandas ?"
Minggu ke Dua dan ke Tiga Latih Anak Bebas Pampers
Lepas selesai minggu pertama yang konsisten latihan anak ke tandas kena juga diteruskan. Masa ke tandas dah mula boleh dipanjang ke satu jam sekali atau 2 jam sekali ikut keadaan anak.
Anak juga perlu minum air secukupnya. Jangan halang atau kurangkan pengambilan air supaya dia kerap ke tandas. Tujuannya supaya anak ni lama-lama dia kenal tempat sepatutnya buang air adalah di tandas.
Bawa Beraktiviti Di Taman
Masa minggu ke dua kami mula bawa anak ke luar beraktiviti tanpa pampers. Tempat pertama ke kedai makan. Sampai sahaja ke kedai kami bawa anak ke tandas dulu. Masa ni anak agak menolak sebabnya dia tak biasa dan juga masih agak takut.
Tapi kami pujuk perlahan-lahan dan biar dia buang air secara natural. Dah selesai macam biasa puji sampai dia rasa bangga berjaya buang air di tandas. Kemudian ke taman permainan yang ada tandas dan juga ke pasar raya. Cumanya malam masih pakai pampers lagi.
Minggu seterusnya nak ajar anak untuk tidak pakai pampers masa tidur pula. Anak-anak akan mula biasa jika kita tetapkan rutin dengan konsisten. Selamat berjuang untuk semua ibubapa yang sedang melatih anak untuk bebas pampers.
0 Comments