Advertisement

Kebaikan Perkahwinan Campur : Penyatuan Dua Budaya

Perkahwinan campur di Malaysia kini semakin tidak lagi dilihat pelik kerana masyarakat kita sendiri terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan juga agama. Menulis daripada pengalaman saya sendiri yang berasal dari keluarga pelbagai bangsa terdapat banyak kebaikan kahwin campur ini. 


Perkahwinan campur bermaksud penyatuan dua individu yang berasal daripada latar belakang yang berbeza seperti agama, budaya dan juga bangsa.


Kebaikan Perkahwinan Campur

Terdapat Banyak Kebaikan Kahwin Campur 

1- Belajar Hormati Budaya Kaum Lain

Antara kebaikan dalam perkahwinan campur ialah setiap pasangan dan ahli keluarga lain mula belajar tentang pelbagai budaya lain. Selain itu juga dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelbagai kaum dalam keluarga dan masyarakat. Antara adat-adat lain yang boleh dipelajari dari kahwin campur termasuklah adat bertunang dan juga berkeluarga.


Anak-anak saya berpeluang menyambut Tahun Baharu Cina dan pesta kuih bulan setiap tahun. Ini kerana suami akan merayakannya bersama keluarga besar beliau setiap tahun. Saya juga dapat ikut serta dan dapat belajar berharmoni dengan keadaan silang budaya ini.


Selain daripada itu, anak-anak juga berpeluang belajar bahasa selain Bahasa Melayu iaitu Bahasa Mandarin dan Hokkien. Walaupun masih tidak fasih tetapi pendedahan dan asas terhadap bahasa lain masih ada.


2- Mengajar Erti Sabar dan Tekun dalam Berumahtangga

Tidak dapat dinafikan setiap keluarga ada cabarannya. Lagi-lagi kalau pasangan membesar dengan budaya yang berbeza sebelumnya. Awal perkahwinan mungkin akan lebih mencabar dalam masa nak memahami tabiat pasangan kita. 


Namun jika kita sabar dan tekun, inshaAllah setiap masalah pasti dapat diatasi dengan mudah. Selain itu perkahwinan campur dapat mengajar erti toleransi yang tinggi. 


Antara Cabaran Kahwin Campur

1- Cabaran Dalam Beragama

Jika perkahwinan campur ini berlandaskan agama Islam, cabaran mungkin lebih lagi kerana pasangan yang baru memeluk agama Islam semestinya masih dalam proses belajar. Kita perlu berusaha untuk dalamkan ilmu pengetahuan dalam beragama supaya tidak tersasar dari landasan yang benar. 


Disini peranan masing-masing untuk sama-sama belajar tentang hukum hakam dan juga peraturan perlu ditingkatkan. 


2- Konflik Dan Campurtangan Ahli Keluarga Yang Lain

Kebiasaannya konflik akan berlaku jika hendak mendirikan rumah tangga dengan individu berlainan bangsa atau agama. Perkara ini mungkin boleh diatasi dengan perbincangan telus antara dua keluarga individu yang bakal berkahwin. 


Kesimpulan

Pada pendapat saya perkahwinan campur tidak dapat dielakkan kerana masyarakat dunia kini semakin terbuka. Selain itu masyarakat kita di Malaysia semestinya terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya. 


Persediaan dari segi mental dan juga fizikal perlu sebelum berkahwin dengan pasangan berlainan latar belakang. Selain itu sebagai seorang muslim, kita juga digalakkan untuk sentiasa berdoa untuk dimurahkan rezeki serta dipermudahkan urusan dalam perkahwinan yang dibina.


Saya sangat bersyukur kerana antara keluarga kami dapat menerima perbezaan pendapat dan juga budaya yang diamalkan. Anak-anak juga tidak ketinggalan untuk belajar menghormati ahli keluarga dari latar belakang dan budaya yang berbeza.

Post a Comment

0 Comments